Surat Kuasa Mentadbir atau Letter of Administration merupakan satu dokumen yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi atau Pusaka Kecil (bergantung nilai aset) yang membenarkan satu atau lebih individu untuk mengurus, mentadbir dan membahagi harta pusaka si mati. Individu yang dilantik ini seterusnya dipanggil sebagai Pentadbir.
Adakah permohonan ini perlu dalam setiap isu pengurusan harta pusaka si mati? Jawapannya adalah tidak. Permohonan ini hanya perlu dimohon sekiranya si mati tidak meninggalkan wasiat.
Siapa yang berhak untuk menjadi Pentadbir?
Menurut Seksyen 30 Akta Probet dan Pentadbiran 1959, individu yang layak dilantik oleh Mahkamah untuk menjadi Pentadbir harta si mati adalah individu yang mempunyai kepentingan terhadap harta si mati tersebut seperti waris-waris atau ahli keluarga si mati. Mahkamah juga mempunyai kuasa untuk melantik individu selain ahli keluarga sebagai Pentadbir jika Mahkamah berpendapat bahawa pelantikan orang lain sebagai pentadbir adalah lebih sesuai mengikut jenis-jenis situasi. Kelayakan untuk dilantik sebagai seorang Pentadbir hendaklah berumur 18 tahun keatas, sihat fizikal dan mental.
Bagaimana Surat Kuasa Mentadbir ini diproses?
Pertama, pemohon Surat Kuasa Mentadbir hendaklah memastikan senarai benefisiari, senarai liabiliti dan senarai harta si mati cukup dan lengkap. Pada peringkat ini, peguam yang dilantik akan memerlukan senarai-senarai yang dinyatakan di atas beserta dokumen-dokumen lain seperti dokumen pengenalan dan sijil kematian si mati.
Menurut Seksyen 35 Akta Probet dan Pentadbiran 1959, sekiranya nilai harta pusaka si mati melebihi RM50,000.00, pemohon perlu memfailkan Bon Pentadbiran bersama dua orang penjamin. Bon ini bertujuan memberi jaminan kepada Mahkamah bahawa pemohon akan mengurus dan membahagikan harta pusaka si mati dengan jujur dan amanah. Penjamin mestilah individu yang mempunyai harta yang nilainya bersamaan dengan nilai harta pusaka si mati. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian di bawah Akta tersebut di mana keperluan untuk menyediakan penjamin boleh diketepikan.
Oleh itu, anda disarankan untuk mendapatkan nasihat dan konsultasi daripada peguam bagi mengetahui sama ada kes anda memerlukan penjamin atau sebaliknya.
Apa Pentadbir perlu buat selepas mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir?
Pentadbir yang telah dilantik oleh Mahkamah boleh meneruskan tugas menguruskan harta pusaka si mati selepas memperoleh Surat Kuasa Mentadbir yang telah disahkan oleh Mahkamah. Setelah Surat Kuasa Mentadbir diperolehi, Pentadbir hendaklah menyelesaikan segala liabiliti si mati terlebih dahulu seperti membayar hutang, dan menyempurnakan urusan atau transaksi yang masih tertunggak bagi pihak si mati. Setelah itu, barulah baki harta pusaka boleh dibahagikan kepada waris atau benefisiari yang berhak.
Bagi individu bukan Islam, pembahagian harta pusaka hendaklah dibuat mengikut Akta Pembahagian 1958. Manakala bagi orang Islam, pembahagian harta pusaka hendaklah dibuat mengikut hukum faraid.
Kesan Pentadbir yang gagal menjalankan tanggungjawab
Adakah Pentadbir mempunyai kuasa mutlak untuk menguruskan harta si mati mengikut kehendak dan keperluan Pentadbir sahaja? Tidak. Walaupun Pentadbir telah dilantik dengan sah oleh Mahkamah atau Pusaka kecil, pelantikan Pentadbir tersebut tetap boleh dicabar oleh benefisiari dan waris-waris lain seperti yang termaktub dalam Seksyen 34 Akta Probet dan Pentadbiran 1959.
Mahkamah telah menjelaskan maksud ‘sebab-sebab yang mencukupi’ di dalam kes Tan Kah Fatt & Anor v Tan Ying [2023] 2 MLRA 525 sebagai keadaan di mana kebajikan, kepentingan dan manfaat semua benefisiari harta pusaka si mati yang sentiasa diberi perhatian sewajarnya.
Jika Mahkamah berpuas hati bahawa seseorang Pentadbir gagal menjalankan tugasnya dengan amanah serta mencampuradukkan tanggungjawab sebagai Pentadbir dengan kepentingan peribadi, termasuk mengutamakan diri sendiri atau ahli keluarganya berbanding kebajikan dan kepentingan benefisiari lain, Mahkamah boleh mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Pentadbir tersebut.
Antara tindakan yang boleh dikenakan adalah;
a) menyerahkan semula harta si mati yang berada dalam milikan kepada Pentadbir lain;
b) restitusi atau membayar semula harta atau hasil daripada harta si mati yang telah diambil atau digunakan; dan
c) Membuat bayaran kos.
(Rujukan: Azri-Malek bin Wan Haron dan satu lagi lwn Nur Hartini bt Ibrahim [2025] MLJU 1219)
Maka, lantikan sebagai seorang Pentadbir ini bukanlah kuasa yang membenarkan pengurusan harta si mati dilakukan sesuka hati tetapi ia adalah satu amanah agar urusan-urusan si mati dapat diselesaikan.
Kesimpulan
Proses untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir mungkin kelihatan ringkas dan mudah yang menyebabkan sesetengah waris memilih untuk menguruskannya sendiri tanpa melantik peguam. Namun begitu, hakikatnya proses ini bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.
Pengeluaran Surat Kuasa Mentadbir boleh mengambil masa yang panjang, malah ada kes yang mencecah sehingga bertahun-tahun, terutamanya jika dokumen yang diperlukan tidak lengkap atau terdapat maklumat harta pusaka yang tertinggal.
Oleh itu, mendapatkan khidmat peguam yang berpengalaman seperti di Azreen Azmi & Associates dapat membantu melancarkan dan mempercepatkan proses permohonan Surat Kuasa Mentadbir supaya urusan pentadbiran harta pusaka dapat diselesaikan dengan lebih teratur dan efisien.
