Sebelum memulakan perniagaan, pemilik perniagaan biasanya akan terus mereka logo, slogan atau reka bentuk tertentu sebagai identiti perniagaan. Kesemua logo, slogan atau reka bentuk tersebut sebenarnya adalah salah satu jenis harta intelek yang dikenali sebagai Cap Dagangan.
Cap Dagangan di Malaysia tertakluk kepada Akta Cap Dagangan 2019 di mana menurut Seksyen 16 Akta Cap Dagangan 2019, satu cap dagangan itu hanya akan menjadi milik satu pihak apabila cap dagangan tersebut didaftarkan secara sah.
Apa yang boleh dikatakan sebagai Cap Dagangan?
Menurut Seksyen 3(1) Akta Cap Dagangan 2019, cap dagangan telah ditafsirkan sebagai: “...apa-apa tanda yang boleh dinyatakan secara grafik yang boleh membezakan barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan-perusahaan yang lain.”
Tanda pula boleh terdiri daripada huruf, logo, perkataan, warna, angka, turutan atau apa-apa gabungan yang boleh dikatakan sebagai identiti satu perniagaan tersebut. Sebagai contoh, sebuah syarikat yang mengeluarkan produk bernama “ABC” dan menggunakan logo khas berbentuk buku bagi produk tersebut mempunyai dua cap dagangan yang boleh dilindungi, iaitu cap dagangan bagi nama “ABC” dan cap dagangan bagi logo berbentuk buku tersebut.
Bagaimana nak melindungi cap dagangan perniagaan?
Undang-undang di Malaysia telah mewajibkan mana-mana cap dagangan untuk berdaftar terlebih dahulu dengan pihak MyIPO bagi mengesahkan pemilikan cap dagangan tersebut. Perkara ini boleh dirujuk dalam Seksyen 16 Akta Cap Dagangan 2019 di mana sesuatu cap dagangan hanya akan diiktiraf sebagai milik eksklusif satu pihak apabila cap dagangan tersebut didaftarkan secara sah.
Proses pendaftaran cap dagangan mungkin kelihatan mudah tetapi terdapat beberapa aspek penting yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu sebelum memfailkan apa-apa permohonan. Antaranya adalah sama ada cap dagangan tersebut memenuhi elemen di dalam Akta, kelas-kelas yang sesuai untuk dipohon, serta risiko bantahan atau penolakan daripada pihak MyIPO. Justeru, urusan pendaftaran akan menjadi lebih lancar dan teratur apabila dikendalikan dengan bantuan pihak yang berpengalaman.
Di Azreen Azmi & Associates, kami berpengalaman membantu pelbagai jenis perniagaan dalam urusan pendaftaran cap dagangan. Kami menyediakan nasihat awal berkenaan kebolehdaftaran cap dagangan berdasarkan pengalaman kami, membantu menguruskan proses bersama pihak MyIPO, dan sentiasa memberikan perkembangan terkini secara pantas dan jelas untuk rujukan serta kemudahan klien.
Malah, kami turut berpengalaman menguruskan pendaftaran cap dagangan tempatan di luar negara seperti Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura bagi membantu perniagaan melindungi jenama mereka di pasaran luar negara.
Kenapa Pendaftaran Cap Dagangan Itu Penting?
Apabila cap dagangan anda telah berjaya didaftarkan, pemilik cap dagangan akan mendapat satu Sijil Pendaftaran Cap Dagangan sebagai bukti pemilikan eksklusif terhadap cap dagangan tersebut. Pendaftaran ini bukan sahaja memberi pengiktirafan di sisi undang-undang, malah turut memberikan hak kepada pemilik untuk menghalang mana-mana pihak lain daripada menggunakan cap dagangan yang sama atau mempunyai persamaan yang boleh mengelirukan pengguna.
Dalam situasi di mana terdapat pertikaian melibatkan penggunaan nama atau logo yang hampir sama, Mahkamah lazimnya akan melihat kepada pihak yang terlebih dahulu mendaftarkan cap dagangan tersebut sebagai pemilik yang mempunyai hak yang lebih kuat di sisi undang-undang. Maka, tindakan mendaftarkan cap dagangan lebih awal adalah sangat penting bagi mengelakkan risiko pertikaian atau kehilangan hak terhadap jenama yang telah dibangunkan.
Merujuk kepada kes Tanti Rahayu bt Abdul Halim dan satu lagi lwn Nurhayati Hashima bt Muhammad (berniaga atas nama dan gaya Flexi Biz Enterprise) dan lain-lain [2024] MLJU 1451, kedua-dua Plaintif dan Defendan merupakan pemilik berdaftar bagi logo “Tati” yang hampir serupa. Setelah meneliti perbezaan antara logo tersebut serta mempertimbangkan beberapa prinsip undang-undang termasuk faktor pihak yang pertama menggunakan jenama atau logo produk tersebut, Mahkamah telah membenarkan tuntutan Plaintif. Mahkamah telah mengisytiharkan bahawa pendaftaran cap dagangan Defendan diperoleh melalui fraud dan salah nyataan serta didaftarkan secara salah dan tanpa sebab yang mencukupi. Oleh itu, cap dagangan tersebut telah diperintahkan untuk dipadamkan daripada Daftar Cap Dagangan Malaysia.
Kesimpulan
Pendaftaran cap dagangan memberi hak eksklusif kepada pemilik berdaftar untuk menggunakan cap dagangan tersebut serta menghalang mana-mana pihak lain daripada menggunakan cap dagangan yang sama atau mempunyai persamaan yang boleh mengelirukan tanpa kebenaran. Namun begitu, walaupun sesuatu cap dagangan telah berjaya didaftarkan, Mahkamah masih mempunyai kuasa di bawah Seksyen 47 Akta Cap Dagangan 2019 untuk mengisytiharkan pendaftaran tersebut sebagai tidak sah sekiranya cap dagangan itu didapati tidak memenuhi elemen dan keperluan yang ditetapkan di bawah undang-undang.
Oleh itu, penelitian awal sebelum memfailkan permohonan cap dagangan adalah sangat penting bagi mengurangkan risiko bantahan, pertikaian atau pembatalan pendaftaran pada masa hadapan.
